updates:
Terima Kasih, Datang Lagi :)
Showing posts with label Dairi aku. Show all posts
Showing posts with label Dairi aku. Show all posts

Wednesday, November 17, 2010

Tragedi Di Pagi Aidiladha



Dah lama aku tak update blog ni, lihat saja pada entri yang lepas. Kali terakhir aku update blog pada Hari Raya Aidilfitri. Agak sibuk untuk update blog tetapi sekarang dapat la aku meluangkan masa untuk menulis kembali. Apa cerita aku di pagi Aidiladha? Memang sebuah pengalaman yang agak menyayat hati untuk hari yang berbahagia ini. Cerita ini akan aku ringkaskan seringkas yang aku mampu kerana ianya terlalu... Hmm..

Pada pagi hari raya aidiladha ini aku bagun awal, menunjukkan betapa terujanya aku untuk menyambut raya. Selepas solat subuh aku bersiap - siap untuk pergi solat sunat hari raya. Gosok baju Melayu, sematkan butang baju dan berus songkok adalah aktiviti normal aku untuk hari raya. Minyak rambut, deodorant, perfume semua aku dah stanby atas meja supaya senang aku nak bersiap nanti.

Untuk menambahkan rasa mood raya aku bukak tv, dengar laungan takbir. Tenang hati aku.. Sambil - sambil tu aku terbayang aktiviti korban yang akan aku saksikan nanti. Boleh juga aku kerah tenaga untuk membantu mereka yang memerlukan. Boleh aku tolong lapah daging korban dan nikmati sup tulang. Selepas itu aku bercadang untuk beraya ke rumah saudara mara dan kawan - kawan yang sudah lama aku tak jumpa. Banyak juga aktiviti aku hari ini, itu yang aku fikirkan. Sesudah laungan takbir di tv, aku bingkas bangun untuk mandi. Sewaktu mandi aku terasa lapar, dan bunyi orang memasak di dapur ( jiran belakang rumah ) menaikkan lagi nafsu aku untuk makan.

Selesai saja mandi, aku cepat - cepat pakai baju untuk menjadi orang pertama yang menikmati sarapan pagi. Aku lihat dalam kuali, ada bihun. Aku capai piring dan... arghh.. betapa nikmatnya dapat bihun ketika perut lapar. Tetapi bihun tu tidak begitu umph dari segi rasa dan bau, mungkin kurang garam. Aku tambahkan sos untuk cover rasa tidak umph tu. Selera aku pada pagi Aidiladha ni agak kuat, buktinya 3 kali aku tambah makan. Selesai makan aku bawa bihun itu untuk diletakkan atas meja makan supaya senang orang nak sarapan sekejap lagi.

Selepas beberapa jam aku dengar kakak aku cakap, " mak.. bihun ni dah basi la, kenapa letak atas meja makan?? ". Aku yang tengah bersiap di depan cermin tiba - tiba terasa loya. Patutlah lah bau dan rasa bihun tu agak pelik tadi. Aku tanya akak aku, macam mana dia tahu yang bihun tu dah basi. Dia cakap bau bihun tu dah busuk, dan bila aku cium.. sah inilah bau yang aku makan tadi. Seketika kemudian, perut aku pun rasa sakit. Masa tu pula jam dah menunjukkan pukul 8 pagi, ayah aku dah nak pergi ke masjid. Akhirnya aku meluangkan masa di jamban. Segala aktiviti yang aku plan, terpaksa aku lupakan. Aktiviti aku akhirnya bertukar kepada baring di atas katil sahaja. :(

Salam Aidiladha, hati - hati di jalan raya.. hati - hati juga ketika nak menjamu selera... -_-''

Komen anda adalah penghargaan untuk Penulis

Tuesday, June 22, 2010

Tunjuk Ajar ku Sifu..!

( gambar hiasan sumbangan google )




Entri ini bukanlah berkenaan rancangan Mentor yang disiarkan di TV3, bukan juga berkenaan Sifu M.Nasir, sifu - sifu karut dalam cerita kungfu mahupun Kungfu Panda lagilah tiada kena mengena. Ini cerita tentang sifu aku, Sifu Blogger. Mereka tidak pernah menggelarkan diri mereka sifu pun, aku sendiri yang pandai - pandai bagi title sifu kepada mereka. Sebabnya? Aku telah banyak menimba ilmu dari entri - entri tutorial yang ditulis mereka. Biar aku kenalkan kepada kamu siapa sifu yang aku maksudkan.


Sifu 1 - Blogmenjerit.com

Awal penglibatan aku dalam dunia blogger aku telah bersifukan kepada blog ini. Blog yang ditulis oleh Marzuki Jalil ini menjadi kunjungan aku setiap hari dan boleh dikatakan setiap hari jugalah aku mencuba tutorial yang ada di blog tersebut. Benda pertama yang aku belajar dari beliau adalah cara membuat layout 3 kolum. Tapi sekarang sifu aku ni sudah beralih arah kepada Dilarangmelarang.com . Tutorial yang ditulis juga sudah tidak kelihatan. Mungkin sudah menjadi sifu di tempat lain. Selain sifu, blog azizulluqman.blogspot.com juga menggunakan perkataan dilarangmelarang tetapi beliau dan sifu aku adalah orang yang berbeza.


Sifu 2 - eryzaqistina.blogspot.com

Akak Eryza ni bukan sebarang akak sebab beliau telah menulis banyak tutorial. Selain dari menulis tutorial, beliau juga banyak menerima permintaan untuk sesuatu tutorial. Berbekalkan tutorial yang mudah difahami dan juga rupa blog yang menarik, blog ini memang menjadi pilihan aku untuk belajar. Malangnya blog ini telah hilang, mungkin beliau menjadi sifu di tempat lain juga. :(


Sifu 3 - yanieputrjaya.blogspot.com

Blog ini bukanlah blog tutorial sebagaimana blog sifu - sifu aku yang lain. Bagi aku ianya sebuah blog yang kreatif dan menarik. Dipenuhi dengan gambar - gambar yang tersusun. Akak Yanie ni tersenarai sebagai sifu aku sebab beliau telah mengajar aku bagaimana cara meng-edit gambar dan membuat header blog. Blog beliau masih ada cuma kadang - kadang terpapar ayat 'This blog is open to invited readers only' sebab beliau mungkin dalam proses menukar rupa blog.


Sifu 4 - hanatrg.blogspot.com

Blog yang ditulis oleh Along Arman ini adalah blog campuran tutorial dan cerita harian beliau. Merupakan sifu aku yang pemarah, ehhh.. peramah. Beliau seringkali membalas teguran aku dan pengunjung - pengunjung lain di blog beliau. Juga menerima permintaan untuk tutorial dari pembaca. Butang 'baca selanjutnya' yang ada pada blog aku sekarang ini merupakan hasil tunjuk ajar dari tutorial beliau. Blog ini masih ada cuma khabarnya Along Arman mahu bersara dari menulis tutorial.


Sifu 5 - beautifulbeta.blogspot.com

Ini bakal sifu aku ( baru jumpa semasa aku menulis entri ini ). Terjumpa semasa aku melawat rumah atok Google. Walaupun aku belum menuntut apa - apa ilmu dari beliau tetapi hasil pemerhatian aku, di blog itu penuh dengan tutorial yang berguna. Semoga aku dapat memanfaatkan segala ilmu dari Sifu! Dan jangan bersara terlalu awal. ;)


Sebenarnya ada beberapa lagi sifu aku tetapi aku tak ingat ( ampunkan daku wahai sifu ). Baru sekarang aku perasan yang kebanyakkan sifu aku adalah berjantina perempuan. Sifu - sifu aku juga kebanyakannya sudah berhenti dari menulis tutorial, jadi terpaksalah aku mencari sifu baru. Terima kasih sifu - sifu sekalian, jasamu akan ku kenang!


( p/s : Kalau diikutkan hati mahu saja aku menyalin semula tutorial - tutorial yang berguna itu sebelum hilang, tetapi... :/ )

Komen anda adalah penghargaan untuk Penulis

Monday, June 21, 2010

Bergembira di Mapelei/ Mamak



Banyak kisah yang terjadi sepanjang aku melepak di mapelei. Kebiasaannya kedai - kedai mapelei ni "sesak" kalau ada game EPL terutamanya bila ada perlawanan antara team besar ( Chelsea, Arsenal, Liverpool ). Kadang kala team cap rambutan pun dapat sambutan juga. Aku salah seorang yang mengisi tempat di mapelei sebab rumah sewa aku tiada Astro ( mahupun tv ). Bila sudah selalu ke mapelei, macam - macam la kejadian yang berlaku.



Kisah 1

Aku selalu bergurau dengan annei sewaktu nak bayar makanan.

Aku : Annei, baki simpan!
Annei : Dey, bayar pun cukup - cukup saja. Haha!

Ada kawan aku nak tiru juga tetapi lain jadinya

Kawan aku : Annei, baki simpan! ( dia ingat duit tu cukup - cukup )
Annei : Ni pun sama juga.

Dah jalan jauh sikit dari kaunter, Annei tu panggil kawan aku balik.

Annei : Kawan, awak bayar lebih ni!

Kawan aku dengan muka malu ambil semula baki dia.



Kisah 2



Waktu annei ambil pesanan

Aku : Bagi saya teh tarik ais 1 ..!
Annei : ( Buat muka pelik sambil senyum )

Kawan aku dah gelak - gelak masa tu. Belum sempat aku buat pesanan yang sebenar annei tu dah pergi. Aku pun buat tak tahu je la. Bila annei tu hantar air, betul - betul dia buat teh tarik ais. Lepas tu annei pandang aku sambil tunjuk good. Siapa yang terkena ni??


Kisah 3




Waktu annei ambil pesanan juga

Aku : Bagi saya teh o ais tak nak susu..!
Annei : ( Buat muka faham + yakin sambil tulis pada buku order )

Kali ini aku tak nak panggil annei tu dan betulkan order sebab aku nampak dia yakin yang teramat yakin. Dan bila air tiba, annei tu bagi aku air teh o ais macam yang dipesan. Dalam hati aku terfikir juga " pandai pun annei ni, tahu aku bergurau ". Sambil tunggu makanan aku yang belum sampai aku sedut la air teh o ais aku. Sakit otak kiri aku bila minum air tu! Rasa air tu kalau tawar boleh tahan lagi, ini rasanya kelat macam aku kunyah dauh teh mentah - mentah!!

Wahh.. main kasar kau annei. Aku panggil annei yang lain, suruh dia tambah gula dan air tawar sebab air teh o tu rasa kelat. Kali ini annei tu hantar air aku dengan rasa yang lagi baik dari sebelumnya ( tak sedap mana pun ) tapi... kenapa ais nya dah takde??? Malas aku nak tukar air lagi, salah aku juga sebab bergurau dengan annei yang ternyata tidak faham dengan gurauan aku. Kalau aku lempang dia, nanti dia lempang aku balik. Sabar je la.

(p/s : jangan bergurau tak kena tempat.. ;D )

Komen anda adalah penghargaan untuk Penulis

Ragam Blogger - Macam macam hal..!!


Yeah, bila aku tiada idea untuk pos entri, aku akan melakukan aktiviti melawat blog. Dari otak turun ke jari satu blog ke satu blog pasti ada isu yang dibangkitkan. Adakalanya sedap dibaca dan ada juga yang tidak. Antara isu "panas" yang dibangkitkan adalah isu plagiat ( curi, ciplak ) dan kutuk mengutuk antara blogger. Bila baca entri - entri macam tu, adakalanya aku rasa kelakar dari menonton Senario pun ada. Kamu memang layak jadi penghibur! ;)


Plagiat



Pada pandangan aku, sesiapa sahaja tidak suka hasilnya ditiru. Lebih - lebih lagi entri tersebut adalah hasil "perah otak" mereka sendiri. Bayangkan jika kamu mencari idea sampai sakit - sakit kepala atau mungkin juga sampai sawan dibuatnya, tiba - tiba hasil itu dicuri. Waaaa.. Boleh bertukar jadi Hulk dibuatnya. Kalau situasi begini memang patut pun marah tapi hendak marah sekalipun biar kena pada caranya. Aku juga ada mengambil bahan dari blog lain, tapi aku credit kepada blog tersebut. Selalunya bahan yang aku ambil adalah gambar dan jika kamu ( empunya bahan ) tidak suka bahan kamu ada disini sila maklumkan ya, aku akan buang.

Tapi terdapat juga keadaan yang agak bodoh pelik. Mengapa aku cakap pelik? Sebab apa - apa perkataan, keadaan, ayat, atau senang cakap yang ada dalam blog dia tidak boleh ada pada blog lain. Kalau ada dikira sebagai plagiat? Mungkin disebabkan keluarga lain - lain jadi pemikiran pun berbeza juga. Haha. Bayangkan perkataan 'aku' 'kau' "lu - gua" itu pun kamu nak cakap orang tiru kamu? Kalau sehingga sesuatu perkataan pun kamu tidak mahu sama dengan blog lain, kamu cipta la bahasa sendiri. Biar blog kamu, hanya kamu dan alien sahaja yang faham.


Bergaduh sesama blogger




Keadaan ini selalunya berlaku pada blog - blog yang sudah ada "nama", pengikut, pengaruh dan macam - macam lagi. Setakat blog yang menggunakan blogspot macam Penuliscyber ni, orang tak pandang pun. Bagi aku mereka yang bergaduh ni sebenarnya menunjukkan kelemahan masing - masing. Hal kecil pun hendak dibesarkan. Masing - masing tidak mahu mengalah. Bagi aku buang masa sahaja bergaduh di blog. Lama kelamaan pengikut kamu pun jadi bosan dan menyampah. Setakat satu, dua entri yang kamu pos untuk memberi tahu yang kamu tidak puas hati dengan si polan pun sudah memadai. Tapi kalau sudah sampai tahap menghasut orang supaya membenci, eloklah berhenti. Takut - takut kamu pula yang dibenci.

Sebaik baiknya buatlah entri yang elok, berunsur ilmu dan dapat bagi manfaat kepada pembaca. Jika info kamu dicuri, selesaikanlah dengan cara yang baik sebab mungkin info kamu itu terlalu berguna serta menarik dan si polan turut mahu kongsikan di blognya. Akhir kata dari aku, Majulah Blogger untuk Negara!! ( psss.. ada orang pernah guna ayat ni, aku dikira plagiat jugak kah?? haha.. )

Komen anda adalah penghargaan untuk Penulis

Friday, June 4, 2010

Aku dan Permainan




Bila aku tengok anak buah aku sedang bermain dengan permainan, aku teringat saat - saat aku semasa muda ( sekaran pun muda lagi, haha ). Permainan pada tahun 90-an. Sewaktu kecil aku suka mengikut mak aku ke kedai runcit berhampiran rumah. Semasa mak aku sedang sibuk mencari barang keperluan, aku mengambil kesempatan ini untuk mencari permainan yang berkenan dihati. Kesian mak, setiap kali bawa aku ke kedai mesti kena pow. Tapi mak tak berkira pun dengan aku sebab mak memang best! Antara permainan yang menjadi pilihan aku waktu dahulu adalah :


Tora



Dalam kotak Tora ini ada coklat dan permainan. Macam - macam jenis permainan yang aku dapat hasil dari beli Tora ni. " Tora datang lagi..!! " itulah antara ayat dalam iklan Tora.



Kapal terbang



Nama permainan ini aku tak ingat, yang aku tahu ianya lagi seronok dari bermain kapal terbang kertas.


Tamiya






Memang terkenal pada masa dulu, dan aku jadikan longkang sebagai litar perlumbaan. Selalu aku bertandang ke rumah kawan untuk menonton cerita kartun ini ( dash! yonkuro ).


Gasing




Kebiasaannya aku bermain main gasing pada bulan puasa. Aku juga selalu menjadi mangsa buli diawal penglibatan aku dalam permainan ini, tetapi semakin lama aku semakin hebat. ;)


Pistol mainan belerang





Permainan yang membuatkan aku kelihatan seperti James Bond. Bila peluru habis, pinjam sikit dari kawan supaya aku boleh terus bermain ( aku suka menghabiskan peluru rakan seperjuangan.. huhu ).


Origami




Permainan yang memerlukan kepakaran dalam melipat. Aku tidak pandai membuatnya, tunggu kawan buat dan aku tumpang main sahaja. :)


Belon hisap baru tiub.






Nama itu aku reka sendiri sebab aku tidak tahu nama belon ini. Kena hisap dahulu gel yang diletak pada hujung straw kemudian baru tiup. Kena tiup perlahan - lahan supaya belon tidak bocor.


Game Cowboy





Masukkan duit dan anda akan dibekalkan dengan kacang semasa bermain game ini. Game yang seronok beserta kacang yang sedap!


Guli




Pada mulanya aku tidak berminat dengan permainan ini tetapi akhirnya aku jadi seronok selepas mencubanya. Aku selalu gunakan belanja sekolah untuk membeli guli.


Terup : Donkey, Happy Family dan Old Maid




Menjadi pilihan selepas habis peperiksaan akhir tahun. Lagi best dari bermain poker tahu!


Ikan Bergelung

Aku rasa kamu pun tahu cara bermainnya. Layan~


Lawan Pemadam



Permainan yang perlukan strategi untuk menang. Hehe


Cyber pet a.k.a Tamagochi



Aku suka permainan ini tetapi tidak mampu beli ketika itu. Sekadar melihat dari rakan - rakan. Ada lagi ke benda ni? Sila hadiahkan satu kepada aku. ;P


Rasanya ada lagi permainan yang belum aku sebutkan. Nanti aku sambung lagi, penat nak memerah otak untuk mengingat kembali. ;)

Komen anda adalah penghargaan untuk Penulis

Friday, May 14, 2010

Keberanian yang hilang




Penakut? Itu bukan aku suatu masa dahulu. Tetapi sekarang susah bagi aku untuk menghadapi sesetengah perkara terutama yang berkaitan dengan jalan raya dan kelajuan. Selepas kejadian yang aku ceritakan di entri INI, aku mula menjadi trauma untuk terus menggunakan kenderaan ketika di jalan raya. Untuk melintas jalan pun aku masih teragak - agak ketika itu. Namun kelemahan ini dapat aku hadapi sedikit - demi sedikit dan kini aku sudah mampu untuk menunggang kembali. Walaupun sudah mampu menunggang, aku tetap tidak mampu untuk menjadi seberani dahulu.

Semangat aku kembali nipis kerana berlakunya kejadian INI dan masalah aku sebenarnya lebih teruk dari yang aku sangkakan, iaitu aku takut untuk menaiki kereta! Ketakutan itu bertambah jika aku duduk di bahagian hadapan atau kereta yang aku naiki dipandu laju. Mungkin ramai rakan dan keluarga aku yang tidak perasan ketakutan aku ini tetapi sebenarnya aku begitu gementar apabila menghadapi situasi tersebut. Sehinggakan kadang kala kaki aku menjadi kebas. Sekarang baru aku sedar yang keberanian aku itu tidak kekal.

Menghadapi hari - hari sebagai seorang penakut memang mencabar. Kadang kala menaiki bas pun aku terasa takut. Aku sendiri tidak pasti bila aku akan kembali seperti dahulu, mampu menunggang motorsikal dan memandu kereta. Atau lesen memandu aku hanya akan menjadi perhiasan di dalam dompet. Walaubagaimana pun, aku tetap bersyukur kerana aku tidak mengalami sebarang kecacatan. Aku harap kamu yang membaca kisah ini boleh mengambil ikhtibar. Jalan raya bukan tempat untuk menunjukkan kehebatan. Sebaik - baiknya atur perjalanan dan menggunakan had laju yang telah ditetapkan. Ingat sebelum kena!

( p/s : naik cable car pun aku takut! )

Komen anda adalah penghargaan untuk Penulis

Sunday, January 3, 2010

Cerita Kedai Kopi : Edisi 1




Entri aku tiada kena mengena dengan lagu "Cerita Kedai Kopi" dan mungkin lokasi bercerita sahaja yang sama. Dalam kemalasan kesibukan aku dengan kerja harian, dapat juga aku meluangkan masa bersama rakan + jiran di kedai makan berhampiran rumah aku. Sambil menunggu makanan yang dipesan, aku dapat mendengar beberapa pandangan mengenai isu - isu semasa yang dikemukan oleh mereka. Bagi aku apa yang diperkatakan ada benarnya dan berguna.


Semasa aku menjamu selera bersama rakan di sebuah restoran, datang seorang pakcik ( jiran di kawasan perumahan aku ) turut menumpang makan bersama kami. Pakcik itu sekadar memesan minuman dan membawa makanan sendiri iaitu nasi lemak dan kuih. Seperti biasa, pakcik itu mulakan perbualan dengan bertanya mengenai keluarga aku. Sambil berborak, dia mempelawa kami menjamu kuih yang dibawanya. Agak lama berborak tentang aku, pakcik itu kemudiannya bercerita tentang pengalamannya.

Mat Rempit

" Minggu lepas pakcik pergi ke Pulau Pinang, sampai disana sudah malam dan jalan tidak begitu sibuk. Pakcik ingatkan pakcik boleh memandu dalam keadaan tenang tetapi tidak lama selepas itu ada banyak motorsikal yang ditunggang secara laju. Dari gaya mereka pakcik yakin mereka "orang kita". Pakcik rasa kesian melihat MELAYU sekarang, seolah - olah mereka tiada masa depan. Kamu pernah nampak bangsa lain merempit? Kalau ada pun boleh dibilang dengan jari. Bagi pakcik mereka jadi begini kerana 2 perkara, MISKIN DUIT dan MISKIN PENGETAHUAN. Orang kaya tidak akan melibatkan diri dengan perkara yang bodoh ini. Orang bijak apatah lagi! "

Itulah antara komen pakcik tersebut mengenai isu rempit. Sebenarnya panjang lagi celoteh pakcik itu tetapi memandangkan jam sudah menunjukkan pukul 4.07 a.m ( waktu aku menaip entri ini ) jadi terpaksa aku post sambungannya dilain masa. Bagi aku komen itu cukup berguna. Apa pendapat kamu?





Komen anda adalah penghargaan untuk Penulis

Tuesday, December 8, 2009

Apalah nasib 2



Post aku kali ini merupakan sambungan ( nasib tidak baik aku ) kepada post yang sebelumnya. Kejadian yang ingin aku kongsikan ini juga berlaku sehari selepas kejadian yang diceritakan sebelum ini. Dalam keadaan yang serba salah, aku ingin kongsikan pengalaman aku agar kita sama - sama dapat mengambil ikhtibar darinya.


Selepas kejadian kejar - mengejar yang berlaku berhampiran rumah sewa aku, aku segera membawa diri pulang ke rumah ( mak bapak aku ). Harapan aku adalah keadaan akan menjadi lebih baik jika aku tinggal bersama keluarga. Pada sebelah malamnya, aku bersama 2 orang rakan ingin keluar melepak di kedai makan berdekatan rumah aku. Pada malam itu cermin kereta agak berkabus kerana hari hujan, ditambah pula dengan driver ( rakan aku ) yang rabun menyebabkan pemanduan jadi tidak begitu baik.

Sedang aku rancak bersembang dengan rakan, tiba - tiba kedengaran bunyi yang agak kuat dibahagian hadapan kereta. Kami yang agak cemas segera memerhatikan apa telah dilanggar tadi. Apa yang aku nampak ketika itu adalah sekujur tubuh manusia yang tertiarap di atas jalan raya. Kami segera pergi ke arah lelaki itu untuk menghulurkan bantuan. Aku lihat lelaki yang tertiarap itu mengalami pendarahan di bahagian kepala. Dia tidak dapat berbuat apa - apa melainkan meraung kesakitan. Darah yang mengalir juga sangat pekat. Atas bantuan orang ramai, lelaki itu telah dihantar ke hospital berdekatan.

Selepas kejadian itu, aku menjadi lebih berhati - hati. Lelaki itu ( seorang pakcik ) dikhabarkan semakin baik. Harapan aku, kalian dapat mengambil ikhtibar dari apa yang telah aku alami.


(p/s : aku agak trauma dengan apa yang telah aku lalui )

Komen anda adalah penghargaan untuk Penulis

Thursday, May 21, 2009

Sahabat

Rakan + Baik = Sahabat





Aku percaya kamu semua ada kawan, begitu juga aku. Tetapi tahukah kamu membezakan antara kawan dan kawan baik atau nama lainnya sahabat? Bagi aku kawan mudah dicari tetapi tidak bagi sahabat. Permulaan aku berjumpa dengan sahabat aku adalah sangat unik, sehingga aku sendiri tidak pernah menyangka dia bakal menjadi sahabat aku.

Semasa kecil aku telah berpindah dari tempat kelahiran aku ke sebuah kawasan kampung. Keadaannya begitu berbeza berbanding kehidupan aku sebelum ini, dimana aku terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan di sana. Aku juga tidak begitu rapat dengan kawan-kawan. Sekadar berjumpa di sekolah sahaja.

Walaupun aku masih baru di sekolah itu, tetapi telah terdapat perselisihan faham antara aku dan seorang rakan. Ini telah menyebabkan berlakunya kekecohan (tahu-tahu sahajalah bagaimana keadaan lelaki bergaduh). Pada masa itu muncullah penyibuk pengadil separuh masa yang tugasnya untuk meleraikan kami. Akibat terlalu marah, aku telah melepaskan "geram" kepada salah seorang pelerai itu dan menyebabkan kecederaan pada mulutnya (aku pun tidak menyangka aku akan buat begitu ganas). Ini membuatkan rakan kelas(kebanyakkannya lelaki) marah kepada aku. Petang itu, rakan-rakan aku menyampaikan pesanan(amaran) dari ayah si "pengadil " atau namanya Ahmad(bukan nama sebenar) kepada aku.

Keesokan harinya aku telah pergi ke kedai ayah Ahmad yang juga merupakan kedai runcit utama di tempat aku. Aku (dengan muka seposen) meminta maaf darinya dan ayahnya juga pesan kepada aku agar berkawan dengan baik. Sejak dari itu, kami mula berkawan. Aku juga menjadi rapat dengan rakan(Karim juga bukan nama sebenar) yang bergaduh dengan aku pada hari itu yang juga jiran kepada Ahmad. Kami begitu rapat sehinggakan sewaktu aku ingin berpindah, keluarga mereka menawarkan aku untuk tinggal bersama mereka dan tidak berpindah.

Sewaktu memasuki sekolah menengah, aku telah bertemu dengan Ahmad kembali. Ini membuatkan kami lebih rapat. Berlajar, melepak, makan, semuanya bersama. Walaupun di sekolah kami kelihatan biasa sahaja tetapi di luar kami seperti adik-beradik. Ahmad juga sering melepak di rumah aku pada waktu cuti (kerana pada masa itu dia telah memiliki motorsikal).

Saat sedih kembali selepas kami mengambil result SPM, saat itu aku telah berpindah ke tempat asal aku. Sekali lagi kami terpisah dan tidak dapat berjumpa. Aku dapat tawaran belajar di UiTM dan mengajak Ahmad untuk melanjutkan pelajaran di tempat yang sama. Disebabkan memilih pengajian yang bebeza, Ahmad menyambung pelajaran di tempat lain tetapi di kawasan yang berdekatan dengan rumah aku(yang baru). Kami telah bercadang untuk melepak bersama pada waktu cuti.

Cuti semester untuk aku telah bermula. Selepas subuh, aku mengemas barang untuk dibawa pulang dan aku telah dapat 1 SMS dari nombor yang tidak aku kenali. "siapa dia ni? SMS aku pagi-pagi buta ni". SMS itu berbunyi " Salam, Ahmad dah takde". Aku terkejut, dan aku balas SMS itu " Wslm, sape ni? Betul ke? Sebab ape?". SMS dibalas, " ni kiela(kawan sekolah aku dulu), Ahmad kemalangan. Mak aku yang bagi tahu. Aku sibuk ni, nanti mesej lagi". Itulah berita terakhir mengenai Ahmad.

Sedihnya aku tuhan sahaja yang tahu, namun aku terpaksa redha dengan ketentuan ilahi. Hilanglah satu-satunya sahabat aku. Siapa yang ingin menjadi sahabat aku selepas ini? Moga rohnya di cucuri rahmad dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.


**: hargailah rakan baik anda. [ semua nama di atas adalah bukan nama sebenar ]


Marilah dengar lagu ini. [ diambil dari blog Sya Yusof. Aku suka membuat permintaan lagu di blog Sya. Terima kasih Sya! ]


Peterpan - Tak Ada Yang Abadi [ download]

Takkan selamanya tanganku mendekapmu
Takkan selamanya raga ini menjagamu
Seperti alunan detak jantungku
Tak bertahan melawan waktu
Semua keindahan yang memudar
Atau cinta yang telah memudar
Tak ada yang abadi
Tak ada yang abadi
Tak ada yang abadi
Tak ada yang abadi
Biarkan aku bernafas sejenak
Sebelum hilang
Tak kan selamanya tanganku mendekapmu
Tak kan selamanya raga ini menjagamu
Jiwa yang lama segera pergi
Bersiaplah para pengganti


Komen anda adalah penghargaan untuk Penulis

Tuesday, May 19, 2009

Lewat kerana perlahan

kawan aku ke ni?






Aku bukan mirip seekor kura-kura, bukan juga seekor kong kang, tetapi bagaimana aku boleh seakan-akan mereka?? Maksud "seakan-akan" itu bukan merujuk kepada muka ya, cuma pada kelajuan aku. Aku selalu terlewat untuk ke mana-mana, apa sebabnya? Sumpahan "janji Melayu" kah? Rakan-rakan yang lain pun sebangsa dengan aku, tetapi tidak pula seperti aku. Namun ada hikmah disebalik kelajuan aku yang tidak laju ini, ada kebaikan juga keburukannya. Nak tahu?


KEBURUKAN :

-- Aku dimarahi oleh guru/pensyarah kerana sering lewat ke kelas.

-- Jika tidak dimarahi pun, aku akan terlepas pelajaran di kelas.

-- Aku dipandang serong oleh rakan-rakan kelas terutama rakan perempuan(mengumpat aku la tu!).

-- Tidak mendapat masa yang secukupnya untuk menjawab soalan peperiksaan/ujian.


KEBAIKAN :

-- Jika kelas batal aku tidak berasa rugi kerana masih belum bersiap.

-- Aku sempat menyiapkan kerja yang tertangguh.

-- Menjadikan aku seorang yang tenang dan tidak menggelabah.



Itulah antara kebaikan dan keburukan yang dapat aku senaraikan. Kamu jangan salah sangka pula, itu sikap aku semasa dahulu kini kelajuan aku sudah kembali normal. Mungkin kerana aku kuat minum susu soya. Hehe~ Sekarang masa untuk berubah, masa untuk.... BERJAYA!!






** : jangan jadi seperti sikap lama aku kerana keburukannya jauh lebih banyak berbanding dengan kebaikan. ;)





Komen anda adalah penghargaan untuk Penulis

Monday, May 18, 2009

Sejarah Memancing Ikan

Aku Suka Memancing







Hari ini aku menjelajah ke blog lain untuk mencari idea dan agak terkejut kerana terdapat paparan blog aku di blog BUKAN KERANA NAMA. Terima kasih kepada tuan blog yang dikenali sebagai cikgu jai di shout box. Sebelum ini aku telah menceritakan minat aku terhadap ikan, kali ini aku ingin berkongsi kisah bagaimana aku mula terjebak dengan aktiviti memancing.


Sewaktu kecil, selain dari mengikuti ayah angkat aku pergi menjala, aku juga sering dipaksa mengikutinya pergi memancing. Bagi aku itulah saat yang sangat membosankan. Aku terpaksa meninggalkan rakan-rakan seperjuangan di padang bola dan rancangan-rancangan kartun kegemaran aku. Sebaliknya aku terpaksa berkawan dengan si pacat, si lintah dan si nyamuk yang tidak pernah hilang dahaganya. Aku lihat ayah angkat aku dan juga pemancing-pemancing tegar di kawasan itu sungguh tekun memancing. Terlintas juga di fikiran aku, "apa yang seronoknya memancing ini? Cuma membazir masa sahaja,". Disebalik muka aku yang bosan, muka-muka pemancing ini sungguh keriangan terutama apabila mereka mendapat ikan.

Apabila aku berusia 9-11 tahun, ayah aku telah berpindah ke kawasan kampung. Aku yang berasa agak janggal terpaksa membiasakan diri dengan keadaan di kampung. Jika dahulu aku bersama rakan bermain bola diwaktu petang, kini aku bersama rakan baru yang sering mandi sungai dan memancing! Berbeza dengan keadaan memancing di bandar, rakan-rakan aku di sini hanya menggunakan batang ubi dan tali pancing. Ranting kayu yang kecil pula dijadikan sebagai pelampung dan kail seperti biasa.

Memandangkan memancing merupakan antara aktiviti utama bagi rakan-rakan aku di kampung, aku juga mula mengikuti mereka memancing. Mulanya agak keberatan, tetapi selepas aku diberi peluang untuk memancing, aku juga menyukainya! Ikan yang sering aku dapat ketika itu adalah ikan Sisik (betul ke nama ni?) dan ikan Talapia. Umpan yang aku sering guna adalah cacing ( aku korek di kawasan pokok pisang di tepi rumah) , anak-anak udang (tangkap di tepi sungai atau kolam) dan bancuhan dedak dan tepung. Aku jarang menggunakan umpan roti kerana ia mudah hancur di dalam air(dan lagi satu sebab kerana aku gemar makan roti). Acara yang paling seronok ketika memancing adalah ketika memanggang ikan yang kami dapat (jika di bandar, ikan akan di masak di rumah) dan kadangkala ada di antara rakan aku yang membawa nasi.

Minat aku yang semakin bertambah memaksa aku menggunakan belanja sekolah untuk membeli kelengkapan memancing iaitu tali pancing (RM1.20) dan mata kail (RM0.80). Alatan yang selebihnya aku guna bahan dari alam semula jadi (batang ubi @ buluh) atau bahan terbuang (tin minuman). Sejak itu makin bertambahlah jenis ikan yang menjadi tangkapan aku, antaranya ikan Keli, ikan Haruan, ikan Sepat, Belut dan berbagai lagi (aku dah tak ingat).

Dahulu aku tidak minat memancing kerana aku tidak mencubanya, tetapi selepas mencubanya baru aku tahu nikmat memancing ikan. Sehingga kini aku masih minat memancing walaupun jarang mendapat peluang itu(kerana sibuk). Aku juga telah memiliki 3 joran sendiri satu darinya aku beli berharga hampir RM80 dan dua lagi dihadiahkan oleh abang ipar.

Bagi sesiapa yang kata memancing itu membosankan, cuba dulu baru tahu. ;) Inilah antara ikan yang pernah aku dapat.


Ikan Keli
Ikan Talapia
Ikan Talapia Merah Belut Ikan Sepat Ikan Haruan







** : walaupun aku minat dengan ikan, tetapi minat aku terbatas terhadap Ikan Tapah kerana bapa aku berketurunan Pak Kaduk. Untuk maklumat lanjut, lihat sini --> (link 1) - (link 2)



Komen anda adalah penghargaan untuk Penulis

Friday, May 15, 2009

Selamat Hari Guru : 2009




Walaupun sudah lama aku tamat zaman persekolahan tetapi jasa-jasa guru masih terpahit terpahat dalam memori aku. Berbekalkan secebis memori ini, aku ingin kongsikan kisah-kisah aku dialam persekolahan bersama guru-guru yang banyak membantu aku walau selalu kadang-kadang aku menghampakan mereka.


Cerita ini aku mulakan dengan kisah aku sewaktu di sekolah rendah. Pada ketika itu aku memang seorang yang pemalas kurang rajin dan memang nasib aku kurang baik kerana guru aku ketika itu memang suka memberikan kerja rumah yang banyak. Kebiasaannya aku akan datang ke sekolah pada awal pagi dan tujuan aku untuk meniru kerja rakan-rakan yang lain. Seperti pagi-pagi yang biasa, aku ke sekolah dengan muka yang gembira dan hanya menanti jawapan dari rakan-rakan.

Malangnya pada pagi itu cikgu aku masuk awal ke kelas dengan dilengkapi muka yang garang beserta rotan. Aku mula berharap agar guru itu lupa tentang kerja yang dibaginya tetapi ada sahaja suara sumbang yang memusnahkan harapan aku itu. " Cikgu, kerja semalam cikgu tak mahu kutip ke? " . Ingin sahaja aku menempeleng mulut yang celupar itu tetapi bagi aku pada saat-saat yang genting ini aku perlu memikirkan cara untuk menyelamatkan diri.

Mujurlah idea bijak aku muncul di saat-saat aku memerlukannya. Aku meletakkan kepala di atas meja sambil menutup muka. Rakan di sebelah aku [Abu (bukan nama sebenar)] pun menjadi hairan.




Abu : kenapa tiba-tiba kau jadi macam ni?
Aku : aku sakit perut la.
Abu : kau pergi la ke tandas.
Aku : aku bukan nak buang air.
Abu : habis?
Aku : aku tak tahu. Perut aku senak.
Abu : kau nak aku beritahu cikgu ke?
Aku : bagus juga, lagi cepat lagi bagus. Aku dah tak tahan ni.



Abu dengan baik hatinya segera memberitahu kepada cikgu berkenaan. Cikgu memberi kebenaran kepada aku untuk ke kantin (kerana menyangka aku tidak bersarapan) dan meminta Abu untuk menemani aku. Setibanya aku ke kantin aku memberitahu perkara yang sebenar kepada Abu.



Aku : aku tak sakit apa-apa pun sebenarnya. Hehe..
Abu : habis, kenapa kau buat macam tu?
Aku : aku tak siap lagi kerja semalam. Aku takut kena marah.
Abu : eh..ada kerja ke? aku pun belum buat lagi.
Aku : jangan risau, kau duduklah dengan aku di kantin. Bila habis masa nanti,
kita balik lah ke kelas. Setuju?
Abu : Baik.



Rupa-rupanya Abu juga tidak menyiapkan kerja rumah itu. Dari kantin kami dapat menyaksikan beberapa murid yang tidak menyiapkan kerja sedang didenda. Manakala aku dan Abu bersantai di kantin sambil menikmati hidangan yang lazat (memang seronok sebab Abu belanja aku). Selepas kejadian itu aku tidak lagi meniru kerja rumah dari rakan-rakan kerana kalau "terkantoi" dengan cikgu disiplin memang bertatu la punggung aku. Pengajarannya buatlah kerja yang diberi oleh cikgu, semua itu untuk kepentingan murid juga. ;)


Selamat Hari Guru



Sekadar Gambar Hiasan





Komen anda adalah penghargaan untuk Penulis

Thursday, May 14, 2009

Ikan dan aku





-










Hari ni aku pulang ke kampung untuk menemui ibunda dan ayahanda tersayang. Seperti biasa aku akan sampai ke rumah dalam waktu petang akan tetapi yang menjadi luar biasa adalah apabila terdapat sebuah akuarium bersaiz kecil di dalam bilik aku. Di dalam akuarium tu terdapat 2 ekor ikan Sepat dan 1 ekor ikan Ntah (aku tak tahu nama ikan tu). Kakak aku cakap ikan tu abang aku yang beli. Bila aku tenung lama-lama ikan tu, ia mengingatkan aku tentang kisah aku yang suka membela ikan (pada masa dulu).


Semasa kecil aku sering mengikut ayah angkat aku ke sungai untuk menjala ikan. Dan selalu jugalah aku mencuri menyeludup ikan kecil dari jala ayah angkat aku (yang selalunya dibuang kerana saiznya yang kecil dan tidak sesuai untuk dimasak) ke dalam plastik yang berisi air untuk dibawa pulang ke rumah sebagai haiwan peliharaan. Tetapi aku selalu 'kantoi' ketika ingin pulang dan terpaksa melepaskan ikan-ikan kecil itu.

Bila masuk ke alam persekolahan(umur 7-8 tahun) pula, aku mula membeli ikan sendiri. Pagi-pagi ayah aku beri RM1 untuk belanja ke sekolah, namun aku tidak menggunakannya dan hanya membawa bekal dari rumah. Pada zaman itu kanak-kanak seusia aku pastinya akan tertarik untuk membeli Ding Dang dan Tora tetapi minat aku adalah terhadap ikan! Hehe.. ( nampak pelik ke aku ni? )

Pulang dari sekolah pagi(sekolah harian), aku dan abang akan ke kedai ikan dengan menaiki basikal tua mak aku yang ditunggang oleh abang ( aku kenit lagi, kaki tak sampai nak tunggang basikal mak aku). Kebiasaannya kami membeli 2 ekor ikan emas kurus dan makanannya kami beli secara kongsi. Selain dari ikan itu, kami juga pernah membeli ikan emas gemuk, ikan bandaraya(yang suka melekat di cermin akuarium) dan bermacam-macam jenis lagi yang aku sendiri dah lupa. Yang aku ingat ikan-ikan itu mudah mati kecuali ikan bandaraya sahaja yang mudah dijaga.

Sekitar aku berumur 9 - 11 tahun pula, aku mula minat terhadap ikan laga. Ikan ni bukan sahaja suka berlaga malah memiliki rupa yang menarik. Menjaga ikan ini juga mudah, tidak memerlukan bekas yang besar. Makanannya pula adalah jentik-jentik ( aku peram air belakang rumah sampai ada jentik-jentik ). Kadang-kadang bila mak aku nampak aku cuba 'menghasilkan' jentik-jentik aku akan dimarahi kerana risau didenda oleh Jabatan Kesihatan. Walaupun aku memelihara ikan laga tapi tujuannya bukan untuk dilagakan, aku cuma suka melihat ikan itu.

Pada suatu hari di hari raya(sudah lupa bila), aku terkejut kerana ada "tetamu kecil" telah mencampurkan 2 ekor ikan laga aku di dalam 1 bekas. Akibatnya ikan aku berlaga sehingga lemah dan mati. Aku terus tidak membeli ikan laga lagi sejak hari itu. Mungkin jika "tetamu kecil" itu kantoi semasa ingin melakukan perkara itu, aku akan melagakan kepalanya dengan lutut aku. Tetapi salah aku juga kerana letak di tempat yang tidak selamat. Hehe..

Ikan-ikan yang aku teringin nak pelihara




Ikan ni aku takut nak bela




hehe...




Komen anda adalah penghargaan untuk Penulis

Wednesday, May 13, 2009

Permulaan

Sekadar Gambar Hiasan





-


Permulaan - setelah sekian lama aku mencuba, kini aku berjaya menghasilkan sebuah blog yang agak menepati citarasa aku. Blog-blog lama aku biarkan menjadi kenangan terindah. Sebagai permulaan, aku ingin kongsikan kisah aku berhadapan dengan tipu helah promoter.


Kisahnya berlaku ketika aku dalam perjalanan ke kompleks membeli-belah bersama kawan aku. Sampai di satu tempat terdapat promoter-promoter yang sudah biasa menjadikan kawasan itu sebagai sarang mereka. Jangan salah faham, promoter ini bukanlah promoter barangan di dalam pusat membeli belah tetapi promoter bagi perkhidmatan talian telefon. Diringkaskan cerita, promoter tu bagi kami sim card yang dikatakan percuma dan hujung bulan hanya perlu membelanjakan 5 ringgit (sebagai permulaan) dengan begitu banyak kelebihan sebelum bulan berikutnya (iaitu perlu dibayar RM 50). Ianya boleh dihentikan selepas sebulan. Sebelum kami meneruskan perjalanan, kami telah diminta untuk menandatangani di beberapa kertas. Dia juga meminta nombor talian kami yang lama.

Sambil aku berjalan di pusat membeli-belah itu, aku berfikir benarkah terdapat perkhidmatan percuma? Sedangkan tandas awam di perhentian bas yang membuatkan aku "terbantut" pun di caj, inikan pula talian telefon. Dan aku merasakan seperti "ada khinzir di sebalik pokok". Sebelum pulang, kami(dengan muka marah) telah pergi kepada promoter itu dan minta untuk membatalkan borang kami tadi.





Kawan aku : aku rase aku taknak la guna perkhidmatan ni
Promoter : kenapa?
Kawan aku : aku nak guna nombor lama aku
Promoter : tak boleh la sebab kitorang dah cabut stiker
Aku : kalau kami tak guna pun, kami kena bayar RM 50 jugak kan? Bukan RM 5?
Promoter : yer..
Aku : abis macam mane nak hentikan talian ni?
Promoter : korang boleh hentikan bila no tu dah aktif, tapi kalau boleh jangan
sampai melebihi 24 jam.
Aku : (tadi die cakap lepas sebulan baru boleh?? [aku terus blah])
Kawan aku : terima kaseh!




Cess.. macam mana aku boleh tertipu dengan promoter tu. Nasib baik la aku tak hebat macam Tony Jaa kalau tak dah lama aku terajang dia.!!


Komen anda adalah penghargaan untuk Penulis

 
Penulis Cyber - Hakcipta Terpelihara 2012